CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Langkah Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah pada Januari 2023 serta tambahan khas RM100 dalam bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas membuktikan keprihatinan serta penghargaan oleh kerajaan terhadap pengorbanan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan pentadbiran negara.

“CUEPACS sendiri telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri pada 6 Disember lalu untuk pertimbangan kerajaan meneruskan segala inisiatif yang telah diumumkan oleh kerajaan terdahulu kepada penjawat awam.

“CUEPACS melihat tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan ini kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara.

“Bahkan CUEPACS berpendapat masih banyak lagi inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam konteks hal-hal kebajikan dan penambahbaik skim perkhidmatan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, kerajaan bersetuju memberikan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Selain itu, 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah akan diberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya berterima kasih dengan kerajaan yang telah menerima pandangan yang diberikan oleh CUEPACS.

Jelasnya, ia adalah langkah yang ditunggu-tunggu oleh penjawat awam.

“Dalam masa yang sama CUEPACS telah menghantar surat rasmi kepada YAB Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu-isu membabitkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya lagi.

Semalam, CEUPACS menggesa agar kerajaan menetapkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 sebulan ketika ini. – MalaysiaGazette