Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Hafisham Mohd Noor bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Pasukan sweeper dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih tidak menemui sebarang petanda positif berhubung keberadaan sembilan mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, setakat ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, susulan perkembangan itu, pihaknya menambah sehingga 28 anggota pasukan sweeper bagi meluaskan kawasan serta melancarkan proses mencari dan menyelamat (SAR).

“Kita pecah kepada dua kumpulan, 14-14 untuk pergi keliling di ground zero itu, kiri dan kanan sehingga ke Sungai Kedondong, jaraknya lebih kurang 3 hingga 4 kilometer (km).

“Ini untuk kepastian, kemungkinan besar mangsa dihanyut sampai ke sana ke (sungai). Sekurang-kurangnya ikhtiar kita untuk mencari itu ada.

“(Setakat ini) tiada (tanda), semalam kita sudah buat, hari ini pun kita buat, sekarang pun tengah berjalan (SAR), tunggu keputusan pada petang ini,” katanya pada sidang media di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan pasukan sweeper melakukan pencarian bermula di kawasan tebingan sungai (sektor C) sepanjang tujuh kilometer sehingga ke Sungai Kedondong.

Tambahnya, operasi SAR untuk mengesan baki sembilan mangsa tanah runtuh itu masih menggunakan khidmat dua anjing Unit Pengesan (K9) dan 11 jengkaut daripada pelbagai agensi.

“Setakat jam 10 pagi tadi, pasukan SAR kita masih berada di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan terkini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette