Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Perjanjian persefahaman permuafakatan (MoU) antara lima gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melanggar undang-undang seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah.

Peguam yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, MoU itu dibuat dengan persetujuan dan tanpa paksa terhadap lima parti gabungan berkenaan.

Oleh itu, tegas beliau, dakwaan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang mengatakan MoU itu dibuat bagi memaksa Ahli Parlimen mengundi menyokong usul undi percaya terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tidak berasas.

Ini kerana katanya, MoU itu dibuat selaras dengan semangat undang-undang anti lompat parti.

“Semalam, usul undi percaya mengesahkan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah mendapat sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat, sekali gus menafikan dakwaan PN yang kononnya mendapat majoriti.

“Ternyata dakwaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berasas serta hanya permainan politik terdesak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, lima gabungan utama Pakatan Harapan (PH) iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menandatangani MoU menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

MoU itu yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan menggariskan kerjasama bersama bagi menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Anwar.

Bagaimanapun, Ahad lalu, Ahmad Fadhli membuat laporan polis terhadap MoU Kerajaan Perpaduan itu dengan mendakwa tidak sah kerana menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen di negara ini.

Beliau mendakwa, Klausa 4(a) dan 4(b) perjanjian tersebut menyekat dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen yang merupakan ciri asas kerajaan Malaysia berpaksikan Raja Berperlembagaan.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu, perjanjian berkenaan juga bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, MoU itu antara lain memperuntukkan setiap parti komponen Kerajaan Perpaduan menyokong usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

“Ia secara tidak langsung dapat menghalang perbuatan mana-mana ahli Parlimen mengundi berlawanan dengan keputusan parti demi mempertahankan semangat undang-undang anti lompat parti.

“Jika perbuatan mengundi mengikut kehendak sendiri ahli Parlimen itu dibenarkan, ia sama sekali melanggar undang-undang anti lompat parti.

“Memandangkan undang-undang anti lompat parti ini terkandung dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang ini adalah sah dan berperlembagaan,” katanya.

Oleh itu, kata Faiz, MoU berkenaan tidak bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen dan seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah tidak terpakai.

Menurut beliau, memandangkan undang-undang anti lompat itu sah di sisi undang-undang, tiada pelanggaran seksyen 24 Akta Kontrak kerana objeknya tidak melanggar polisi awam atas alasan MoU itu dibenarkan undang-undang anti lompat parti.

“MoU dan usul undi percaya ini penting bagi menjamin kestabilan politik yang menjadi persoalan pokok dalam pentadbiran negara sejak Langkah Sheraton dibuat PN.

“Kestabilan politik penting untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat dibuat terutama membina semula keyakinan pelabur asing dalam negara.

“Namun, Langkah Sheraton telah menyebabkan kemerosotan ekonomi kepada negara sehingga nilai ringgit jatuh teruk dan memberi kesan kepada rakyat akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” kata beliau.

Justeru, katanya, MoU dan usul undi percaya tersebut penting untuk meletakkan halatuju pentadbiran di landasan yang betul. – MalaysiaGazette