Anggota polis yang mengawal lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, hari ini gagal menemui baki sembilan mangsa yang masih hilang.

Komander Operasi SAR, Superintendan Suffian Abdullah berkata, operasi yang melibatkan 150 anggota dan pegawai pelbagai agensi penyelamat pada hari kelima itu sudah sedaya upaya untuk mengesan mangsa.

“Fokus pencarian hari ini lebih kepada zon C di Riverview, pasukan penyelamat kita memang sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun tiada satu perkembangan yang positif.

“Namun kerja-kerja mengesan mangsa masih diteruskan hingga ke sebelah malam ini.

“Namun ianya bergantung kepada keadaan cuaca. Kalau keadaan cuaca mengizinkan, kita akan teruskan ke sebelah malam.

“Kalau tidak mengizinkan, kita akan tangguhkan dan kita akan sambung jam 8 pagi esok,” katanya pada sidang media di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, hari ini.

Agensi penyelamat melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Turut terlibat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam operasi SAR hari ini, pasukan penyelamat masih menggunakan khidmat dua anjing Unit Pengesan (K9) dan 11 jengkaut untuk mengesan mangsa yang masih hilang itu.

“Jumlah anggota operasi SAR dan 11 jengkaut yang digunakan sama seperti pagi tadi,” katanya. – MalaysiaGazette