pembangkang undi percaya
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang mempersoalkan keperluan untuk mengadakan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mempersendakannya sebagai gimik politik adalah bertentangan dengan lunas demokrasi di negara ini serta mencerminkan keangkuhan dan sikap mereka yang tidak konsisten.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sidang Dewan Rakyat semalam juga menyaksikan perbalahan yang amat merugikan apabila perkara-perkara yang tidak memberi manfaat secara langsung terhadap permasalahan paling mendesak rakyat dibangkitkan.

Menurut beliau, sikap pembangkang itu amat memalukan pengundi mereka sendiri kerana menunjukkan ketidakmatangan malah hingar-bingar dipersembahkan kepada rakyat yang mahukan kematangan politik dan bukan masih bermain dengan retorik dan sentimen.

“Alangkah sedihnya apabila mereka yang sedang dilanda musibah banjir melihat wakil yang mereka pilih untuk memegang amanah masa depan mereka lebih pedulikan retorik dan sentimen.

“Malah hal gosip liar tak ada kredibiliti dari luar negara diangkat berbanding daripada memastikan terdapat perlindungan terbaik dari segi nyawa, harta dan emosi mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberitahu, betapa dukanya apabila mereka yang terkesan oleh kejadian tanah runtuh di Batang Kali melihat wakil yang mereka pilih lebih pedulikan penggunaan istilah Kerajaan Perpaduan atau gabungan daripada memastikan semua mangsa dapat dikenal pasti, diselamatkan dan dibantu sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap mutu perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang lebih berwibawa dan berkualiti tinggi daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya juga berharap pihak pembangkang selepas ini boleh membentuk Kabinet bayangannya dan benar-benar berfungsi sebagai pembangkang yang berkesan,” jelasnya.

Beliau menambah, sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan penuh amanah, kita perlu kembali membahaskan strategi pertumbuhan yang mapan dan mencari solusi terbaik demi rakyat.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pembangkang perlu mempunyai kesedaran mengenai isu pemulihan ekonomi dan pembangunan dan bukannya sekadar bernada sarkastik, picisan, retorik dan memainkan sentimen bagi berdepan dengan data dan hujah Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan mempunyai agenda ekonomi yang lebih jelas dan isu rakyat sentiasa mendapat tempat dan kedudukan. Kita tidak boleh terus membiarkan negara kita dilanda ombak ketidakstabilan politik,” katanya.

Menurut beliau, ikhtiar membina semula negara ini dan mencapai potensi ekonominya yang terbaik bermula daripada Parlimen yang lebih bermaruah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.