Ismail Sabri Keluarga Malaysia
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan inisiatif-inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober lalu yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

Ismail Sabri memberitahu, ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan.

“Antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini ialah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

“Malah Kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau menambah, keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” jelasnya. – MalaysiaGazette