Muhyiddin saman
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana Datuk Seri Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Semalam, Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Anwar, 75, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan Muhyiddin, 75, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin telah membuat kenyataan itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut. – MalaysiaGazette