Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi Sweeping di sekitar sungai Kedondong dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerah membuat sweeping (pencarian) di laluan sungai.

Operasi ‘Sweeping’ bermula di Sungai Kedondong, menghala ke Sektor C – Riverside Father’s Organic Farm di Sungai Batang Kali pada kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

Mengikut perkiraan peta laluan darat, Sungai Kedondong ke Sungai Batang Kali adalah sejauh 4 kilometer, tetapi jaraknya lebih jauh mengikut liku-liku sungai.

Terdahulu sebelum memulakan operasi, petugas SAR itu diberi taklimat oleh Pegawai Memerintah 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Bentong, Leftenan Kolonel Md Rafizin Kamarudin.

MalaysiaGazette difahamkan, pasukan ini terdiri daripada seorang pegawai bersama 20 anggota ATM lain-lain pangkat dan 12 anggota PGA.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi Sweeping di sekitar sungai Kedondong dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2022.

Sementara itu, pasukan SAR di tapak perkhemahan menemui empat lagi mangsa tragedi tanah runtuh yang berlaku awal pagi Jumaat lalu.

Dua daripadanya lelaki dewasa dan wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Penemuan ini merekodkan angka korban tragedi berkenaan kini mencecah 30 orang dengan tiga mangsa masih hilang. -MalaysiaGazette