Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri menangguhkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra disambut baik Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Bagaimanapun, timbul syak wasangka terhadap pelantikan itu yang beliau anggap sebagai lakonan politik semata-mata.

“Anwar sendiri mengakui hari ini bahawa “Lantikan politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diteruskan …”  Maksudnya Anwar merancang untuk membuat lantikan politik yang lebih banyak.

“Bagi saya lantikan politik ke agensi kerajaan adalah perkara biasa. Tetapi PH selama ini sering berdrama seolah-olah mereka tidak akan membuat lantikan politik. Sekarang mereka akan terpaksa u-turn selepas sekian lama bermain wayang palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Fathul Huzir merujuk kepada kenyataan Anwar yang berkata, wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pelantikan semula Ahmad Jazlan ke jawatan Pengerusi Felcra diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata, pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra, selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Dalam pada itu, Fathul Huzir tidak menolak kemungkinan Anwar akan membuat pusingan-U dan mengumumkan lebih banyak lantikan politik selepas ini.

“Pandangan saya, tindakan menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan hanya lakonan semata-mata, untuk meneruskan wayang seolah-olah Anwar itu hero Malaya.

“Malahan, saya tidak akan terkejut kalau Anwar melantik diri sendiri mempengerusikan Khazanah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ini kesan dari akibat nya kerajaan gabungan . yang satu nak yang satu tak nak . lain kali rakyat kena sepakat undi satu parti sahaja . jangan mengundi macam tahun ini . orang muda yang baru belajar mengundi negara jadi huruhara .

Comments are closed.