Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AFFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan diarah mengamalkan budaya berjimat cermat dengan menghentikan pakaian baharu seperti batik setiap kali menganjurkan program besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar turut menghentikan amalan memberi kepada pemimpin kerajaan yang hadir untuk merasmikan program selain mengurangkan acara gah dan meriah.

Sebaliknya beliau berkata, sekiranya ingin diteruskan, pakaian batik dan hadiah diberikan kepada pekerja golongan bawahan.

“Setiap kali ada sambutan dan perayaan sahaja ada pakaian baharu. Saya akan hentikan amalan tersebut.

“Ada orang kata itu perkara kecil. Saya tak ambil Mercedes perkara kecil, saya tak gaji pun perkara kecil,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan akan menyemak semula projek tebatan banjir RM15 bilion yang berjaya dijimatkan sebanyak RM1.8 bilion.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya akan terus menekankan tadbir urus dan tatakelola yang baik bagi mengelak ketirisan.

“Kami ingin memastikan bahawa apa-apa wang yang dibelanjakan oleh kerajaan tidak akan berlaku pembaziran.

“Bayangkan penjimatan RM1.8 bilion boleh digunakan dengan baik untuk membantu rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, program tebatan banjir telah meningkat kerana ia diberikan melalui rundingan terus dan bukan melalui tender.

Pada 6 Disember lalu, Anwar berkata, RM7 bilion yang telah diluluskan untuk inisiatif tebatan banjir tidak akan diteruskan dan akan dikaji semula.

Pentadbiran sebelum ini telah mengumumkan Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM15 bilion sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim yang dihadapi negara. – MalaysiaGazette