Pasukan Operasi SAR membawa empat mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Mayat empat mangsa yang telah meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, ditemui dalam gulungan khemah pada kedalaman tujuh meter daripada aras timbunan tanah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati mayat mangsa masih berada dalam keadaan sempurna dengan berpakaian lengkap tetapi sudah mulai mereput.

“Perkembangan terkini pada jam 11.04 pagi tadi, pasukan agensi penyelamat bersama agensi agensi lain telah berjaya menjumpai empat mayat dalam kedalaman tujuh meter di sektor C.

“Kesemua mayat mangsa itu dipercayai berada dalam satu lokasi di sektor C sebelum tindakan menyelamat dan mengeluarkan mayat telah diteruskan pasukan SAR sebelum ditemui kesemua berada di dalam bungkusan khemah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Mangsa yang ditemui hari ini dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat pada jam 11.50 pagi dengan menggunakan trak polis.

Berikutan penemuan hari ini, bilang mangsa korban insiden tanah runtuh itu meningkat kepada 30 orang.

Menurut Suffian, mayat kesemua mangsa dikenalpasti disahkan oleh Pasukan Pengecam Mangsa Bencana (DVI – Disaster Victim Identifications) iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan.

Tambah beliau, dengan penemuan empat mayat ini hari ini, pasukan SAR kami berharap terdapat perkembangan positif bagi mencari baki tiga mangsa yang masih hilang. – MalaysiaGazette