Anwar Ibrahim berucap pada majlis pertemuan dengan Kumpulan 70 Profesor Melayu, Akademi Sains Islam Malaysia dan Institut Darul Ehsan di Seri Perdana, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Golongan cerdik pandai di negara ini akan dimanfaaatkan supaya dapat melaksanakan perubahan demi kemaslahatan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu melihat negara ini terus pulih dari segala segi dan kebajikan rakyat terbela.

“Saya bertemu dengan para ilmuwan dan ahli akademik di Seri Perdana pada malam ini (semalam).

“Sikap tuntas dalam menyatakan pendirian yang sejati waima terpaksa menongkah arus menjadi suatu ciri ilmuwan yang disegani,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Menurut Anwar, dalam pertemuan dengan golongan tersebut di kediamannya di Seri Perdana malam tadi, beliau mendengar ucapan wakil daripada Kumpulan 70 Profesor Melayu, Akademi Sains Islam Malaysia dan Institut Darul Ehsan.

Turut bersama pada program itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tambun turut berkongsi beberapa keputusan yang telah diambil kerajaan untuk menegakkan tata laksana yang baik.

Tambahnya, kebijaksanaan dan pengalaman sejarah mengajar semua untuk membina masa depan negara yang lebih mampan dan sejahtera. – MalaysiaGazette