Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon bercakap pada sidang media aksi perlawanan Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia menentang Laos, turut sama pemain Malaysia, Brendan Gan (kanan) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mempunyai misi serampang dua mata bertemu Laos pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2022 yang akan berlangsung esok.

Ini kerana, pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon bukan sahaja mahu untuk mendapat tiga mata penuh dalam aksi tersebut, sebaliknya, turut menyasarkan supaya anak buahnya memenangi perlawanan itu dengan jumlah yang besar.

Meskipun begitu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tetap menghormati pasukan Million Elephant sambil menyifatkan skuad kendalian Hans Michael Weiss itu akan bangkit lebih kuat selepas tewas besar kepada Vietnam dalam perlawanan sebelum ini.

“Sasaran kami sudah tentu adalah untuk memenangi perlawanan ini. Jika kami mahu menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas kami perlu mengejar perbezaan gol yang mana Vietnam sudah dapat enam jaringan manakala kami satu.

“Bagaimanapun kami tetap menghormati Laos. Selepas mengalami kekalahan besar, sudah tentu mereka akan bangkit dengan kuat dan tidak mahu kalah lagi.

“Jadi, kami tidak boleh turun perlawanan ini dengan sambil lewa. Kami perlu lebih fokus dan mepamerkan aksi yang terbaik kerana saya meramalkan perlawanan ini akan sengit,” katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Untuk rekod, Harimau Malaya kini berada di kedudukan kedua kumpulan B, Piala AFF 2022 selepas mengutip tiga mata ketika mengalahkan Myanmar pada Rabu lalu dibezakan menerusi jaringan daripada pendahulu Vietnam.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya berkenaan status kecederaan yang dialami tonggak pertahanannnya, Ahmad Khuzaimi Piee, Pan-gon memberitahu, beliau tiada maklumat terkini mengenai kecederaan dialami pemain itu.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya menerima tamparan awal apabila tonggak pemain pertahanannya, Ahmad Khuzaimi Piee dilihat menggunakan tongkat selepas aksi pembukaan Kumpulan B 2022 antara Myanmar dan Malaysia. – MalaysiaGazette