KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk meminta maaf kepada rakyat negeri itu kerana bercuti ke New Zealand semasa banjir melanda adalah satu idea yang baik.

Namun, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah skeptikal Ahmad Samsuri akan melakukannya kerana kalau mengikut kelazimannya, ia tidak akan berlaku.

Secara sinis beliau berkata, pengikut dan ahli Pas begitu percaya dan taat kepada pimpinan parti kerana mereka menganggap pemimpin dari sebuah parti yang mempunyai nama Islam tidak mungkin dan boleh membuat silap dan salah seolah-olah mereka itu golongan maksum.

Ini kerana, katanya, lebih 30 tahun masalah air tidak bersih di Kelantan berlarutan, rakyat boleh menerima keadaan tersebut tanpa banyak bantahan, malah dalam keadaan kekurangan wang, kerajaan Negeri Kelantan boleh membeli kereta Mercedes mewah untuk kegunaan pemimpin politik Pas dan rakyat senyap.

“Semasa bekalan air bersih di beberapa daerah di Negeri Terengganu putus begitu lama, dan Menteri Besar hampir seminggu masalah berlaku baru pulang ke negeri, rakyat dan ahli Pas senyap sahaja

“Sekarang banjir besar di Terengganu dan Menteri Besar mengambil peluang untuk bercuti di musim lazim tengkujuh ke New Zealand, ahli Pas diam. Mereka telah ditarbiah untuk taat tanpa soal atau wala’ kepada pimpinan Pas seolah olah pemimpin mereka maksum.

“Walaupun berapa ramai pemimpin utama Pas kalah kes saman fitnah dimahkamah, ponteng berterusan di Parlimen, dan tidak bersuara di Parlimen semasa PAS kerajaan tentang isu tambahan cabutan judi, tiada lagi pembentangan RUU 355 dan hudud, penyokong Pas tidak bersuara bantahan apa pun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas cadangan Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia yang mencadangkan Ahmad Samsuri memohon maaf kepada rakyat Terengganu kerana bercuti ke luar negara ketika Terengganu dilanda banjir buruk.

Ahli akademik ini berkata, sepatutnya menteri besar itu tidak merancang cutinya pada Disember.

Ahmad Fauzi tertanya-tanya kenapa sehingga hari ini belum ada permohonan maaf daripada pihak Ahmad Samsuri.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin mendakwa memilih wakil rakyat Pas adalah memberi lesen besar seumur hidup tanpa perlu atau boleh di tegur.

Oleh itu, katanya, janganlah Ahmad Fauzi atau sesiapa sahaja mengharapkan sangat pimpinan Pas akan merendahkan martabat status mereka dengan meminta maaf kepada sesiapa pun.

Tambah beliau lagi, apabila seorang ahli Pas menghukum mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) akan masuk neraka, yang meminta maaf adalah Tan Sri Muhyiddin Yasin, bukan pimpinan Pas.

Permintaan maaf tidak wujud dalam kamus Pas kerana itulah Muhyiddin terpaksa minta maaf atas tindakan ahli Pas.

Justeru, soal beliau, adakah Samsuri selaku Menteri Besar Negeri Terengganu, orang kanan Hadi Awang, tergamak minta maaf kerana bercuti di musim banjir

”Jika Samsuri sanggup meminta maaf, adakah ini akan membuka lembaran baru, permohonan maaf juga wajar dibuat oleh pihak yang suka mengkafirkan dan menghukum masuk neraka pihak lawan tertentu?

”Kita tunggu dan lihat apa langkah akan di ambil oleh golongan yang berlagak dan ingin dianggap maksum ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. bersabarlah RAJA yang tidak bersemayam di ISTANA dan beberapa kali kecundang dalam pilihanraya
    Anwar boleh lantik jadi Senator dn Pengerusi bagi Setpol Anwar

    RAJA ini membisu bila ada sekutu denganya ke luar negara dan MAIN GOLF ketika rakyat banjir sebabnya terkena batang hidung PUAK SENDIRI

  2. MALAYSIA BOLEH !!!.. PM ‘manusia biasa’ beragama Islam boleh plok bercuti main golf ke Hawaii ketika negara dilanda bencana banjir besar..

Comments are closed.