Anggota bomba bersiap sedia untuk menyambung misi mencari dan menyelamat satu lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2022.

BATANG KALI  – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, diteruskan pada malam ini selepas hujan berhenti.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati anggota SAR telah bersiap sedia untuk meneruskan operasi yang ditangguhkan sejak jam 5.30 petang akibat hujan lebat.

Cuaca kembali pulih selepas jam 8.30 malam dan sebilangan anggota memasuki kawasan pencarian dengan memberi tumpuan di sektor A di mana ia merupakan lokasi mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu berkhemah.

MalaysiaGazette difahamkan proses penggalian tanah telah selesai dijalankan di sektor C dan B dalam usaha mencari mangsa ke-92 itu.

Anggota bomba bersiap sedia untuk menyambung misi mencari dan menyelamat satu lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2022.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi 16 Disember lalu, seramai 30 orang terkorban manakala 61 orang terselamat dan seorang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat yang telah memasuki hari kelapan melibatkan seramai 97 anggota SAR daripada pelbagai agensi keselamatan dengan menggunakan 11 jengkaut dan sembilan ekor anjing Unit Pengesan (K9). – MalaysiaGazette