Penduduk meredah banjir bagi mencari tempat yang lebih selamat selepas kawasan rumahnya dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan di sekitar Kuala Berang, Terengganu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 20 DISEMBER 2022.

PENGHUJUNG tahun sering dikaitkan dengan ‘musim tengkujuh’. Ketika ini, dapat kita lihat kebanyakan negeri di pantai timur terjejas teruk dek keadaan hujan yang tidak menentu dan tidak berhenti. Menurut ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), negeri di kawasan pantai timur akan mengalami taburan hujan yang tinggi. Berikutan itu, beberapa negeri seperti Kelantan, Terenggganu, Pahang, Timur Johor dan Barat Sarawak akan terjejas dengan banjir.

Selain itu, Met Malaysia turut meramalkan luruan monsun yang sedang berlaku ketika ini akan melanda negara sehingga 27 Disember. Hal ini sedikit sebanyak telah mencetuskan keadaaan yang sukar apabila rakyat berhadapan dengan banjir. Persiapan menghadapi banjir perlu dilakukan dengan menyelamatkan perabot dan barang berharga agar tidak rosak dan musnah, malah proses adaptasi juga perlu dihadapi untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Persiapan menghadapi banjir perlu dilakukan seawalnya untuk mengelak kerugian besar. Perkara penting yang melibatkan dokumen penting seperti sijil pendidikan, geran harta benda, kad bank perlu disimpan secara rapi di tempat selamat. Hal ini untuk mengelakkan kesemua dokumen ini dari rosak serta musnah dalam bencana banjir. Selain itu, buku juga merupakan perkara penting untuk diselamatkan daripada terkena banjir. Justeru, langkah bijak perlu diambil untuk membuat persiapan awal dan bersiap sedia menghadapi banjir.

Selain itu, barangan serta peralatan rumah seperti perabot, alatan elektrik dan pakaian juga perlu disimpan di tempat yang tinggi agar tidak terjejas dek banjir. Perkara ini dapat membantu mengurangkan kos kerugian yang ditanggung oleh mangsa banjir. Hal ini kerana kebanyakan individu gagal menyelamatkan harta benda apabila banjir berlaku. Namun berbeza keadaanya kali ini di mana pemakluman awal melalui ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia telah diwar-warkan dan situasi ini memberi ruang dan peluang untuk membuat persiapan awal.

Manakala persiapan dari sudut kesihatan juga perlu diambil kira dan dipandang serius. Golongan yang perlu diambil berat seperti warga emas, ibu mengandung, ibu berpantang, bayi kecil, dan pengidap penyakit berisiko tinggi seperti kencing manis, penyakit jantung dan darah tinggi perlu dijaga dan diberi perhatian sepenuhnya untuk mengelakkan sebarang permasalahan serta komplikasi daripada berlaku. Sekiranya berlaku kes kecemasan yang melibatkan golongan ini pihak Kementerian Kesihatan perlu untuk menyediakan khidmat pegawai perubatan dan jururawat bagi memberikan rawatan kepada sebarang isu kecemasan dan trauma.

Hal ini dapat mengelak kes kematian dan kecederaan sekiranya langkah segera diambil memandangkan keadaan fasiliti pusat kesihatan kebanyakannya terjejas ketika banjir. Dalam masa yang sama, isu masalah kesihatan mental juga tidak harus dikesampingkan. Pengamalan strategi pengurusan emosi dapat membantu individu untuk merawat emosi dan pada masa yang sama tenang dan sabar menghadapi bencana banjir ini dengan mengamalkan berfikiran positif.

Emosi sejahtera dapat dipupuk dengan memperbanyakkan berfikiran positif. Berfikiran positif adalah menerapkan cara untuk mengubah pemikiran negatif dari melingkari diri. Perbanyakkan melazimi pemikiran dengan melihat keindahan di sebalik musibah yang menimpa diri. Oleh itu, dalam institusi keluarga itu sendiri perlu disalurkan ‘vibe’ yang positif sesama ahli keluarga.

Sekiranya terdapat individu yang mengalami kemurungan, ahli keluarga perlu memainkan peranan dengan memberikan kata-kata positif dan semangat untuk menghadapi bencana banjir ini dengan selamat. Penerapan nilai sabar menjadi kunci untuk berasa tenang menghadapi dugaan. Hal ini dapat dilihat menerusi hadis Baginda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim). Hal yang demikian menunjukkan kehebatan orang beriman yang sentiasa bersyukur dan bersabar menghadapi ujian di samping terus berusaha menjalani musibah dengan baik.

Malah, khidmat kaunseling juga amat sinonim untuk dirujuk bagi membantu menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi. Hal ini kerana, kaunseling merupakan suatu hubungan menolong yang dapat membantu individu untuk lebih celik akal untuk keluar dari permasalahan yang dihadapi dengan bantuan kaunselor yang bertauliah. Ia turut menjadi platform penting dalam membantu populasi banjir dari dibelenggu rasa tertekan dan mengalami kemurungan akibat tekanan yang dihadapi ketika banjir ini.

Tuntasnya, persediaan awal berhadapan dengan bencana banjir adalah merupakan elemen yang sangat penting dalam aspek pengurusan bencana ini. Isu masalah kewangan, kehilangan harta benda dan tempat tinggal menjadi dugaan besar untuk dihadapi oleh mangsa banjir. Justeru, pihak kerajaan perlu proaktif dan menyediakan persiapan bantuan seawalnya dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan banjir. Bak kata pepatah melayu, “cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga” menjadi perumpamaan mendalam untuk setiap individu mengambil berat di antara satu sama lain dan perlu bersama berganding bahu, muafakat dan bantu membantu bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)