Sebanyak 30 buah keluarga menerima sumbangan oleh SWM Environment dalam program SWM Kasih Krismas yang diadakan di Gereja Pentekosta Malaysia, Melaka

KUALA LUMPUR – SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) menyumbang barangan keperluan harian kepada 30 buah keluarga yang kurang bernasib baik sempena sambutan perayaan Hari Natal tahun ini.

Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui entiti SWM Kasih Krismas ini bagi menyantuni golongan yang memerlukan dengan mensasarkan Gereja Pentekosta Malaysia, Bachang, iaitu rumah ibadat penganut agama Kristian yang bakal menyambut Hari Natal esok.

Pengurus Besar  Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, melalui sumbangan SWM Kasih Krismas ini dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dan sekaligus memeriahkan lagi sambutan Hari Natal yang diraikan dalam semangat muhibah.

Menurut beliau, SWM Environment akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dengan menghulurkan bantuan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang dan agama.

“Selain SWM Kasih Krismas, tahun ini kita telah mengadakan siri SWM Kasih Misi Sampul Merah, SWM Kasih Santun Ramadan dan SWM Kasih Cahaya Deepavali bagi berkongsi kesyukuran dan kegembiraan sempena musim perayaan utama di negara ini.

“Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat menghidupkan semangat bermasyarakat serta memberi nilai tambah yang positif kepada komuniti khususnya kumpulan sasaran,” katanya.

Pada masa sama, SWM Environment tidak ketinggalan menggerakkan kempen kesedaran penjagaan alam sekitar melalui pendaftaran Gereja Pentekosta Malaysia di bawah program kitar semula yang menawarkan mata ganjaran, KITARecycle.

Orang ramai boleh menyumbang barangan kitar semula kepada Gereja Pentekosta Malaysia dan seterusnya mata ganjaran yang diperoleh akan dimasukkan terus ke akaun KITARecycle gereja tersebut untuk tujuan amal. – MalaysiaGazette