KUALA LUMPUR – Amaran hujan berterusan (buruk) dijangka berlaku di negeri Sabah di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Isnin ini, 26 Disember 2022.

Manakala, hujan berterusan (berwaspada) dijangka berlaku di negeri Sarawak: Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang; Sabah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat dan Labuan, juga sehingga Isnin ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam dan amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. – MalaysiaGazette