KUALA LUMPUR – Air Selangor telah mengambil tindakan segera dengan menurunkan kesemua pintu bedungan air di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir bagi memastikan bahan tercemar dapat dialirkan ke hilir Sungai Semenyih dengan kadar segera.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.
Awal pagi tadi, Air Selangor memaklumkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi hari ini.
Gangguan itu disebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. – MalaysiaGazette