Jalan Batang Kali-Genting akan dibaikpulih sebelum dibuka kepada kenderaan ringan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Jalan Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

“Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

“Kawasan itu telah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023, bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menghalang pihak-pihak lain seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, untuk mengadakan majlis berkenaan, tapi ia perlu dibuat dalam kadar sederhana.

“Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat, seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lain-lain.

“Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut, dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast