KUALA LUMPUR – Usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan negara ini tidak hanya terletak di bahu pemerintah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

Perdana Menteri berkata, mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang dan rahmah.

Dalam kenyataan sempena sambutan Hari Krimas esok, beliau mengingatkan, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

”Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian.

”Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.

”Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette