Penduduk menolak keretanya dengan meredah banjir bagi mencari tempat yang lebih selamat selepas kawasan dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan di sekitar Hulu Terengganu, Terengganu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat, manakala Kelantan dan Terengganu menurun dan di Perak serta Sarawak pula bilangannya kekal setakat 8 pagi ini.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud meningkat kepada 212 mangsa daripada 77 keluarga pagi ini berbanding 150 mangsa daripada 49 keluarga malam tadi.

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu turut dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dengan 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan, manakala satu lagi PPS daerah itu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa kekal dengan 150 mangsa daripada 49 keluarga.

Bagi fenomena air pasang besar, Sandakan menjadi daerah terbaharu terkesan dengan seramai 162 mangsa daripada 29 keluarga telah dipindahkan ke sebuah PPS, terutama melibatkan mereka yang tinggal di rumah atas air.

Fenomena berkenaan setakat ini turut menyaksikan seramai 721 mangsa daripada 163 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas, manakala 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, menjadikan keseluruhan 937 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan.

Sementara itu, di TERENGGANU, JPBN dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS menunjukkan penurunan kepada 5,810 pagi ini berbanding 6,356 mangsa malam tadi.

Sebanyak 44 PPS iaitu di Besut, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus masih beroperasi yang menempatkan 1,651 keluarga.

Jumlah mangsa juga menurun di KELANTAN, dengan seramai 12,786 orang daripada 4,393 keluarga berlindung di dua PPS di Pasir Mas dan Tumpat direkodkan, berkurangan pagi ini berbanding 12,830 orang daripada 4,405 keluarga malam tadi.

Di PERAK, Sekretariat JPBN berkata jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 75 orang daripada 19 keluarga dan berada di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk.

Begitu juga di SARAWAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti setakat 11 malam tadi iaitu 1,424 mangsa daripada 381 keluarga dan ditempatkan di 16 PPS, menurut JPBN. – Bernama