Khairy Sungai Buloh Zahid
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau telah ‘berhijrah’ ke UMNO Bahagian Sungai Buloh bagi meneruskan misi menawan kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau membuat pengumuman tentang perkara itu ketika berucap dalam satu majlis di pusat daerah mengundi (PDM) Saujana Utama, Sungai Buloh baru-baru ini.

Rakaman video yang mengandungi pengumuman Khairy tersebut disiarkan dalam laman Tiktok BN Sungai Buloh semalam.

“Sebenarnya saya nak simpan berita ini, tetapi saya nak bagitau kepada tuan-tuan, ini eksklusif, sebab gelombang itu tercetus di Saujana Utama, jadi saya nak bagitau di Saujana Utama.

“Semalam saya buat carian dalam sistem keahlian UMNO, nama saya alhamdulillah keluar Bahagian Sungai Buloh,” katanya sambil disambut tepukan daripada para hadirin.

Bekas Menteri Kesihatan itu menambah, beliau telah berbincang terlebih dahulu dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin-pemimpin bahagian yang lain termasuk Datuk Harison Hassan.

Khairy juga telah mendapatkan pandangan mereka kerana tidak mahu dituduh ‘melanggar orang’.

“Dua-dua kata sila datang. Soal pemilihan nanti kita bincanglah adik beradik macam mana kita nak buat.

“Yang penting seperti mana yang saya sebutkan tadi saya datang bukan hanya nak bertanding, kalah terus hilangkan diri. Tidak,” jelasnya.

Beliau berjanji akan kekal di UMNO Bahagian Sungai Buloh sehingga beroleh kemenangan di kerusi Parlimen berkenaan.

“Sebab saya memang orang macam tu lah, agak perfectionist sikit. Kalau kalah tu saya mesti buat sampai menang,” katanya.

Setakat ini, status Khairy sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau masih belum diketahui dan tiada pengesahan sama ada beliau telah melepaskan jawatan tersebut.

Pada PRU-15, Khairy kalah tipis kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R. Ramanan yang beroleh majoriti 2,693 undi.

Dalam saingan tujuh penjuru itu, Khairy meraih 48,250 undi manakala Ramanan beroleh 50,943 undi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Anda masuk kawasan PH dan MIC, PRU15 MIC bagi pinjam sahaja, hendak selamat pergi tempat bekas kerusi Pak Lah.

Comments are closed.