Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Premis yang didakwa menjual ayam goreng dijilat tikus diarah tutup selama 14 hari kerana didapati tahap kebersihannya kurang memuaskan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan penguatkuasa kesihatan (BKKM) dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit yang terletak di Pandan Indah, semalam.

Katanya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan berhubung video yang viral itu dan pasukan berkenaan telah pun bertindak.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan. Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Noor Hisham menegaskan, pihaknya memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

Katanya, pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah.

Tambahnya, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Kelmarin, tular rakaman berdurasi 17 saat yang menunjukkan seekor tikus sedang menikmati hidangan ayam yang tersedia di kedai makan.

Video yang dimuat naik oleh Zoeyhanafiah di akaun Twitter miliknya itu tular dan ditonton lebih 100,000 kali.

Di dalam video tersebut, kelihatan seekor tikus bersaiz besar sedang memakan hidangan ayam goreng yang tersedia di restoran terbabit.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan restoran terbabit, tetapi melalui catatan yang ditulis bersama-sama dengan video tersebut, dipercayai bahawa tempat tersebut adalah restoran mamak.

Ciapan itu tular di kalangan netizen di Twitter dengan kebanyakan komen terkejut dengan video berkenaan. – MalaysiaGazette