Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak takut dengan pandangan umum berhubung kenyataannya mengenai usaha bagi menyuntik lebih keanjalan harga sebagai satu mekanisme mengawal harga barang selain langkah di peringkat pembekal iaitu melawan monopoli, menambah bekalan dan kawalan harga.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau yakin rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta apa yang telah disarankan.

“Kita juga perlu suntik keanjalan dalam permintaan sebagai satu lagi mekanisme kawalan harga. Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat.

“Kita mula dengan yang ini, InsyaAllah sedikit demi sedikit kita kembalikan kuasa pengguna.

“Jangan takut dengan pandangan umum. InsyaAllah, rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Malah beliau berkata, tidak pernah lari dari perkara kontroversi jika sesuatu yang dinyatakan boleh menyelesaikan masalah.

“Masa saya bercakap mengenai (Datuk Seri) Azmin Ali tahun 2016, penyokong PH (Pakatan Harapan) maki. Masa saya cakap PH perlu fokus menang lebih 80 kerusi untuk jadi blok terbesar Mac 2022, semua gelak dekat saya. Soal harga pun sama,” ujarnya.

Tegasnya, dalam tempoh sebulan lagi, ‘geng’ Perikatan Nasional (PN) yang mempertikaikan semua itu akan terduduk.

“Sama macam mereka ‘terduduk’ soal lain yang asalnya kontroversi tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” Tambahnya.

Kelmarin, Rafizi dalam sidang medianya berkata, pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Jelas beliau, jika pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Katanya lagi, ketika ini biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Nak tengok YB Ekonomi bawa bekal masakan rumah ke pejabatnya walaupun beliau mampu makan di restoran.

Comments are closed.