Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR – UMNO yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bulan lalu digesa untuk membuka semua jawatan dalam pemilihan UMNO tahun depan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ia termasuk jawatan Presiden dan juga Timbalan Presiden.

Malah ujar beliau, sebarang usaha menghalang pemilihan parti akan merencatkan lagi demokrasi parti UMNO.

“Ini bukan parti keluarga. Ini parti yang mempunyai ahli lebih 3 juta. Jadi amat tidak wajar, perkara ini dibiarkan.

“Hari demi hari, semakin kuat kedengaran ura-ura satu usul khas akan dibahas seterusnya diluluskan dalam Perhimpunan tersebut, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO akan datang.

“Saya melihat kenyataan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian (Beruas, Sg Besar & Pasir Salak) yang secara jelas sebut tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan tahun depan, mahupun secara samar-samar cadangkan sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan.

Nada sama disuarakan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau, mana-mana pihak mahupun individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO.

Muqharabbin dalam pada itu berkata, soal samada UMNO menang atau kalah pada PRU15 tidak timbul kerana pemilihan tetap akan dibuat demi akur akan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Jika dulu sebelum PRU-15 kita tidak mengadakan pemilihan atas alasan tidak mahu perpecahan dalam parti dan fokus PRU, sekarang pun tidak boleh? Habis bilanya nak ada pemilihan parti?

This is a mockery to our party’s constitution. Ahli akan marah, rakyat pula gelakkan kita dari luar. Kalau betul-betul ingin melakukan perkara demikian, lebih baik semua jawatan termasuk semua Ketua Bahagian, Timbalan, Naib, Pemuda Puteri dan semua peringkat tidak perlu bertanding,” katanya.

Kali terakhir pemilihan UMNO dibuat adalah pada 2018 lalu yang mana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan pula dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.

ROS sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO, yang menyaksikan pemilihan UMNO di semua peringkat perlu diadakan tidak lebih dari tempoh enam bulan selepas pelaksanaan PRU15. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Waktu terbaik untuk calon2 berkelayakan bertanding kerusi presiden, peluang untuk menang amat cerah. Harapan akar umbi agar presiden baharu nanti dapat membawa keluar parti dari kerajaan minoriti dengan segera.

Comments are closed.