Shamsul Iskandar menenangkan Lai Hua Kiong, 53, yang tidak dapat menahan sedih kehilangan anak lelaki, menantu serta dua cucunya dalam Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali, Hulu Selangor, 16 Disember lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machap Baru, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Waris dua buah keluarga melibatkan lapan mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor 16 Disember lalu menjadi penerima pertama dan kedua bantuan RM80,000 di Kampung Machap Baru, di sini, hari ini.

Sumbangan kepada waris dua keluarga itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang meluangkan masa lebih satu jam menziarahi upacara keagamaan kepada semua mangsa.

Menurutnya, bantuan RM10,000 kepada setiap mangsa yang meninggal dunia seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 16 Disember lalu diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kesedihan yang terpaksa ditanggung waris mangsa.

“Hari ini, seperti mana dijanjikan kerajaan dan Perdana Menteri memberikan sumbangan tunai RM10,000 kepada setiap ahli keluarga yang meninggal dunia kepada waris keluarga masing-masing.

“Diharapkan ianya dapat meringankan beban terutamanya kesedihan mereka dengan cara pemergiaan yang amat menyedihkan ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan itu, di sini, hari ini.

Shamsul Iskandar membantu menenangkan Chong Swee Yen, 65, yang tidak dapat menahan sedih kehilangan anak perempuannya, Yu Siew Pay, 34 dan menantunya, Tai Chang Lin, 35 serta dua cucunya Tai Jing Key, 7, dan Tai Jing Rou, 4 dalam Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali, Hulu Selangor, 16 Disember lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machap Baru, Alor Gajah, Melaka hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Tenaga Kerja, Perhubungan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Terdahulu, Shamsul Iskandar menziarahi Lai Hua Kiong, 53, yang kehilangan anak lelakinya, Lai Chee Sam, 33, dan menantu, Lai See Tin, 33 serta sepasang cucunya, Giselle Lai Yu Xi, 6 dan Jonas Lai Ze Kai, 2 dalam tragedi itu yang keseluruhannya mengorbankan 31 jiwa.

Beliau kemudian bertemu ibu dan bapa empat sekeluarga lain yang terkorban iaitu Yu Siew Pay, 34 dan suaminya Tai Chang Lin, 35 serta dua anak mereka Tai Jing Key, 7, dan Tai Jing Rou, 4 yang merupakan kenalan rapat keluarga Lai.

Mengulas lanjut Shamsul Iskandar berkata, Perdana Menteri turut berterima kasih kepada lebih 250 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi menyayat hati itu sehingga mangsa korban ke-31 ditemukan petang semalam.

“Perdana Menteri dan kerajaan memandang tinggi terhadap pasukan SAR bertungkus lumus sejak 16 Disember lalu menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang sehingga mangsa terakhir ditemukan petang semalam.

“Kita bersyukur semua jasad mangsa ditemui yang mana ini menuntut komitmen pasukan ini tanpa mengenal erti penat terpaksa berhujan dan pada masa sama juga membahayakan keselamatan mereka.

“Saya harap, komitmen sebegini dapat menjadi contoh kepada agensi lain agar bekerja dengan bersungguh-sungguh dan terbaik dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.34 pagi 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa disahkan terkorban akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang menyaksikan 61 terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa terlibat. – MalaysiaGazette.