Haniza Talha PBM UMNO
Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Pendaftar Pertubuhan (RoS) digesa menyiasat keabsahan Datuk Larry Sng sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana didakwa telah melanggar keputusan Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022.

Salah seorang ahli parti tersebut, Haniza Talha berkata, Larry sepatutnya memberi laluan kepada Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengambil alih jawatan tertinggi parti seperti yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan Larry mengotakan perjanjian sebelum ini mengakibatkan parti berkenaan kini tidak berada di landasan yang sepatutnya.

Malah, Haniza mendakwa Larry memanipulasi keadaan sehingga PBM kini dalam keadaan terumbang-ambing.

“Disebabkan oleh sikap Larry yang telah membelakangi perjanjian dan mandat yang telah diputuskan oleh ahli PBM dalam Persidangan Agung Tahunan pada Oktober 2022 yang lepas, keadaan parti pada ketika ini terumbang-ambing dan menyebabkan kekeliruan dikalangan pemimpin dan ahli PBM.

“Sewajarnya, Larry menyerahkan jawatan beliau kepada Zuraida sepertimana yang telah dipersetujui oleh semua ahli PBM pada PAT PBM yang lepas dan tidak memanipulasi keadaan sehingga menjadi kucar kacir seperti ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, Larry juga gagal menguruskan parti apabila menyalahgunakan kuasanya mengadakan perbincangan dengan parti lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebelum PRU-15, Presiden PBM, Larry telah menggunakan surat watikah pelantikan calon untuk mengugut kepimpinan PBM agar kami menuruti kehendak beliau.

“Tindakan yang beliau lakukan ini jelas memaparkan bahawa beliau tidak langsung memikirkan kehendak ahli parti dan hanya bertindak demi kepentingan peribadi beliau semata-mata,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Haniza dan rakan kepimpinan PBM lain menolak kepimpinan Larry sebagai Presiden PBM.

Beliau juga mendesak agar Larry segera meletakkan jawatan.

Kemelut kepimpinan PBM dilihat tidak berkesudahan sehingga kini selepas Zuraida digantung keahlian sejak Oktober yang lalu.

Selain Zuraida, keahlian 12 ahli Majlis Tertinggi (MT) PBM turut  digantung kerana didakwa menggugat kepentingan parti dan kepemimpinan Larry. – MalaysiaGazette