Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Anwar menamakan Muhyiddin sebagai defendan tunggal. Beliau mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin telah membuat ucapan berbaur fitnah itu semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Susulan itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan telah meminta Anwar agar bersikap tegas dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang didakwa memfitnahnya.

“Dengan berbuat demikian barulah Anwar boleh dilihat serius mempertahankan nama baiknya dan institusi Perdana Menteri dan bukan berterusan mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkritik,” katanya dalam satu kenyataan. https://malaysiagazette.com/2022/12/21/anwar-patut-saman-juga-lokman-agenzia-novia-wan-saiful/

Anwar telah memfailkan tindakan samannya atas kapasiti peribadinya. Jika sekalipun Anwar menyaman atas kapasiti rasminya, beliau tetap berhak mempertahankan nama baiknya.

Seperti diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Guan Eng lwn Ruslan bin Kassim [2021], tidak ada perbezaan antara seseorang yang difitnah atas tingkah laku dalam kapasiti rasmi dan kapasiti peribadi. Selagi pernyataan fitnah itu dapat dibaca merujuk kepada seseorang itu, beliau berhak menyaman.

Seperti juga kata Lord Nicholls dalam kes Reynolds v Times Newspapers Ltd and others[2001] 2 AC 127 (dalam bahasa asalnya):

“Reputation is an integral and important part of the dignity of the individual. It also forms the basis of many decisions in a democratic society which are fundamental to its well-being: whom to employ or work for, whom to promote, whom to do business with or to vote for.

“Once besmirched by an unfounded allegation … a reputation can be damaged forever …. When this happens, society as well as the individual is the loser.

“It should not be supposed that protection of reputation is a matter of importance only to the affected individual and his family. Protection of his reputation is conducive to the public good.

“It is in the public interest that the reputation of public figures should not be debased falsely. In the political field, in order to make an informed choice, the electorate needs to be able to identify the good as well as the bad.”

Anwar berhak menyaman, dan menyaman siapa yang beliau hendak. Ia adalah suatu tindakan sivil yang tidak mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkiritk, seperti dakwa Wan Saiful.

Nama baik atau reputasi seseorang individu, baik dalam kapasiti rasmi atau peribadi, semuanya layak mendapat perlindungan kerana apabila nama baik seseorang itu diambil, kehidupannya juga diambil.

Bak tulis Shakespeare dalam Richard II:

Mine honour is my life, both grow in one,

Take honour from me and my life is done.

—HAFIZ HASSAN

*Artikel ini merupakan pandangan penulis yang dikirim menerusi [email protected]