KUALA LUMPUR – Tuan ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itu perumpamaan buat anak muda berusia 21 tahun ini.

Emman Azman yang kini berada di Australia diangkat sebagai juara gusti Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks.

“Saya gembira menang pertandingan ini, dan mewakili negara di persada dunia. Tali pinggang ini adalah bukti kita boleh jadi juara pro wrestling. Kalau saya tak boleh jadi contoh macam mana nak ada pelapis pro wrestling dari Malaysia, ini bukan mimpi, kita boleh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Emman memenangi pertandingan itu pada 26 November lalu di hadapan lebih 700 penonton.

Anak muda ini memasuki dunia pro wrestling pada tahun 2014 ketika berusia 13 tahun dan merupakan salah seorang daripada empat pelajar pertama di Malaysia Pro Wrestling Centre.

Foto kredit: Digital Beard PhotographyPada 2019, Emman berpindah ke Melbourne di mana beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti RMIT.

Di sini Emman memutuskan bahawa dia akan meneruskan dunia pro wrestling dan memperkenalkannya di Malaysia.

“Saya ada alami kecederaan di peha kiri bagaimanapun saya tekad teruskan pertandingan dan guna satu kaki sahaja dan ternyata saya menang,” katanya.

Setelah memenangi gelaran juara gusti MCW Intercommonwealth, Emman mahu terus mewakili negara ke pertandingan gusti antarabangsa.

“Misi terbaharu saya ialah di Jepun, Amerika Syarikat, Thailand, Taiwan, dan Asia Tenggara. Saya harap dapat masuk ke Jepun dan mewakili Malaysia.

“Saya nasihatkan cuba jadi ahli gusti dan kalau suka boleh teruskan. Kalau nak ada impian, saya tegaskan untuk cuba sahaja,” katanya.

Emman dijadualkan pulang ke tanahair pada Jumaat ini untuk bersama-sama rakyat Malaysia meraikan kejayaan beliau. – MalaysiaGazette