Menara KL
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya jika pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu pengambilalihan pegangan saham penuh bagi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, KKD memantau rapat isu pengambilalihan saham penuh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) iaitu anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) oleh Hydroshoppe Sdn. Bhd.

Beliau turut mengesahkan telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada KKD pada 14 Disember lalu.

“Saya juga akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada pihak TM pada 3 Januari depan.

“Saya difahamkan bahawa konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember ini oleh MKLSB,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Isu pengambilalihan saham MKLSB oleh syarikat yang kurang dikenali itu menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial memandangkan syarikat tersebut dikatakan menjana keuntungan bersih RM25 juta.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan, kementerian itu tidak terlibat dalam keputusan penjualan saham MKLSB yang dibuat oleh TM. – MalaysiaGazette