Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menumbuk adiknya gara-gara tidak berpuas hati apabila mangsa tersalah tekan butang alat kawalan jauh ketika menukar saluran televisyen.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 4 pagi semalam di kediaman mangsa di Taman Bukit Permai, Ampang, di sini, suspek telah menumbuk badan dan mulut pengadu yang merupakan seorang penjual burger dengan menggunakan tangan.

“Suspek juga telah menampar muka pengadu dan buat ugutan jenayah berbunyi ‘dah cukup bagus aku tak bunuh kau’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, laporan yang dilakukan pada 12.30 tengah malam tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah menahan suspek dalam serbuan yang dilakukan di Taman Bukit Permai.

Katanya, siasatan polis mendapati suspek yang tidak bekerja mempunyai dua rekod jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah.

“Punca kejadian mendapati suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu yang menukar siaran televisyen di rumahnya,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana meelakukan ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette