Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin antara 11 pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dipecat.

PBM juga memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi.

Haniza merupakan Timbalan Presiden PBM manakala Daroyah pula ketua wanita parti berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan, Haniza dan Daroyah Alwi masih kekal sebagai ahli biasa walaupun dipecat daripada jawatan masing-masing.

Selain itu, Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad juga dipecat.

PBM turut memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM, Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Unit Penerangan PBM berkata, 11 pemimpin itu dipecat kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, tindakan ke atas semua 13 individu itu diambil selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin parti membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida, Nor Hizwan dan Haniza sebelum ini antara individu menyelar Presiden PBM, Larry Sng dalam menguruskan parti termasuk tindakan memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada awal Oktober lalu, Perhimpunan Agung Tahunan PBM dikatakan membuat keputusan untuk Zuraida secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Larry.

Keputusan Perhimpunan Agung Tahunan PBM itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu namun Larry menyekat peralihan kuasa itu dan menegaskan beliau masih presiden parti menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.- MalaysiaGazette