Ahmad Zahid Hamidi berdepan cabaran paling getir dalam sejarah UMNO.

PETALING JAYA – Tidak kira jawatan presiden dan timbalan presiden terbuka kepada pertandingan atau sebaliknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap dilihat sebagai calon paling berpeluang untuk memenangi  pemilihan UMNO.

Penganalisis politik, Dr. Oh Ei Sun berkata, dua orang yang dilihat paling berkemungkinan untuk mencabar Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin.

Ei Sun bagaimanapun berpendapat Ismail Sabri dan Khairy tidak akan berjaya untuk menumbangkan kepimpinan Ahmad Zahid dan Mohamad.

Katanya, walaupun jika semua jawatan termasuk jawatan tertinggi terbuka kepada pertandingan, keadaan itu tetap sukar menggugat kedudukan Ahmad Zahid.

“Selain kekurangan sokongan akar umbi, juga tidak kelihatan kerjasama mereka (kumpulan lawan). Keadaan sokongan mereka adalah agak berselerak, cuma mereka melihat diri sebagai kuat dan sesuai menjadi presiden.

“Jika mahu mencabar Ahmad Zahid, sekurang-kurangnya mereka harus mewujudkan satu pasukan seperti mengemukakan Ismail Sabri sebagai calon presiden dan Khairy sebagai calon timbalan presiden,” katanya kepada Sinchew Daily.

Ei Sun berkata, kedudukan Ahmad Zahid sebagai presiden parti semasa dan juga Timbalan Perdana Menteri juga memberi kelebihan kepadanya dalam pemilihan parti.

“Secara individunya pula, beliau merupakan seorang yang mempunyai sokongan akar umbi yang secara bandingannya lebih kuat.

“Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat-mesyuarat bahagian dan bersalaman dengan yang hadir, perkara ini bukannya boleh dilakukan oleh semua pemimpin.

“Walaupun semasa Ahmad Zahid tidak mempunyai jawatan dalam pentadbiran, beliau tetap menerima sokongan ketua-ketua bahagian semasa program rapat umum parti.

“Contohnya semasa beliau menggesa pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, Ahmad Zahid telah menerima sokongan ketua-ketua bahagian. Apatah lagi pada masa ini, apabila beliau telah menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Ei Sun juga percaya bahawa Mohamad tidak akan mencabar Ahmad Zahid sebagai presiden parti kerana keadaan itu akan menyebabkannya dilabel sebagai bermuka dua.

“Boleh dikatakan tiada peluang kemenangan yang pasti jika sesiapa mahu mencabar Ahmad Zahid sebagai presiden.

“Tetapi kalau mahu mencabar jawatan timbalan yang kini dipegang Mohamad, individu berkenaan bolehlah mencuba nasib lagi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir juga berpandangan Ismail Sabri dan Khairy yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan sukar mencabar kedudukan Ahmad Zahid dan Mohamad.

“Untuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula, beliau dilihat sebagai tidak setia kepada parti,” katanya

Jeniri juga percaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak akan terbuka kepada pertandingan dalam pemilihan parti demi mengekalkan kestabilan parti dan negara.

“Jika jawatan presiden terbuka untuk bertanding pun, bukannya senang untuk menjatuhkan Ahmad Zahidi. Tiada sesiapa pun dalam parti yang boleh menumbangkan beliau dengan senang,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.