Lelaki yang bertelekung untuk mencuri beg milik seorang jemaah wanita semasa bersolat di sebuah masjid di Shaha Alam minggu lalu akan diheret ke mahkamah Shah Alam esok.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengenakan pakaian telekung untuk mencuri beg seorang jemaah wanita di dua masjid di Shah Alam, Selangor minggu lalu akan didakwa ke mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kertas siasatan terhadap suspek berusia lingkungan 20-an yang telah ditahan sebelum ini telah dilengkapkan.

Suspek sebelum ini direman untuk membantu siasatan polis dan sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka dan disiasat.

“Kini kertas siasatan itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Susulan itu polis telah menerima arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam pukul 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, suspek akan didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.

Pada Jumaat lalu media melaporkan tentang kejayaan polis yang telah memberkas seorang lelaki yang sanggup bertelekung semata-mata untuk mencuri beg milik seorang jemaah wanita semasa bersolat di dua masjid di daerah Shah Alam.

Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak mencuri ketika jemaah wanita itu sedang menunaikan solat di masjid sekitar Seksyen 18 di sini pada 20 Disember lalu.

Malah, perbuatan jijik suspek itu turut berjaya dirakam  kamera litar tertutup di masjid terbabit sebelum tular di media sosial.-MalaysiaGazette