Tangkap layar video kereta yang dipandu seorang pelakon secara melulu sehingga merempuh kenderaan lain di MRR2 semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pelakon yang disyaki memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kekasihnya tercampak dari kereta dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) susur Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (Duke) di sini semalam.

Teman wanitanya mengalami kecederaan akibat kejadian itu.

Sebelum kejadian suspek yang memandu kereta Perodua Myvi itu dikatakan bertengkar dengan kekasihnya dan memandu secara zig zag sebelum merempuh sebuah kereta lain.

Suspek berjaya dicekup polis untuk membantu siasatan lanjut, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Menurutnya, kejadian itu yang berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan kemudiannya tular di media sosial.

Katanya, pemerhatian terhadap video tular itu mendapati kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 5.30 petang.

“Siasatan awal polis mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek (pelakon) bersama teman wanitanya itu tiba-tiba menukar lorong secara melulu ala zig-zag di atas jalan raya sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Innova,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohamad Farouk, rempuhan oleh kereta suspekĀ  mengakibatkan penumpang hadapan dalam keretanya tercampak keluar.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian pemandu Perodua Myvi itu sendiri yang dikesan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek sedang bertengkar dengan kekasihnya yang duduk di tempat penumpang hadapan sambil memandu laju sebelum berlaku perlanggaran dengan kenderaan lain sehingga mengakibatkan kekasihnya tercampak dan terjatuh atas jalan serta tercedera.

“Pemandu kedua-dua kenderaan Myvi dan juga Innova telah tampil membuat laporan polis mengenai insiden itu sebelum suspek (pemandu Myvi) yang juga merupakan seorang peniaga itu ditangkap polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok untuk proses permohonan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette