Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dikenali ‘ameba pemakan otak’ berlaku di negara ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan air tawar.

Antaranya adalah elak menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai di mana mungki  ada habitat berkenaan.

“Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus.

“Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Naegleri Fowleri merupakan ameba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah.

Ia tidak ditemui dalam air masin seperti laut.

Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan yang terbaharu tentang penyakit tersebut,” tambahnya.

Semalam, Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea mengesahkan kematian warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu setelah menetap selama empat bulan di sana. – MalaysiaGazette