Kesemua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bergambar selepas mengangkat sumpah di Wisma Sri Pahang, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Kesemua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang hari ini mengangkat sumpah di Wisma Sri Pahang, di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan mereka agar sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati, serta tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan seseorang.

“Maka, bermulalah tugas dan amanah secara rasminya Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan Dewan Negeri masing-masing.

“Sudah pastinya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat cukup penting dan menuntut pengorbanan yang besar terutama dalam memastikan kebajikan setiap rakyat sentiasa terjaga,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, kini adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang telah dizahirkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tambah beliau, Pahang perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dapat dipacu ke arah yang lebih baik.

“Kita perlu bergerak ke hadapan. Dan sebagai Kerajaan Negeri, kami akan berusaha sedaya upaya melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini terutamanya menerusi Belanjawan 2023 yang telah pun diluluskan di Dewan yang mulia ini pada penggal yang lalu.

“Bagi blok pembangkang pula, saya pinta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian agar dapat menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan negeri ini terus kekal maju dan berdaya saing,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi, Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Seramai lapan ADUN BN dan dua ADUN PH dilantik sebagai exco bagi membentuk kerajaan perpaduan pada 2 Disember lalu. – MalaysiaGazette