ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menunjukkan tong gas yang ditemui dalam kereta suspek.

KUANTAN – Dua lelaki yang aktif mencuri tong gas ditahan polis dalam sebuah kereta di Jalan Bukit Ubi, di sini, 24 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek memecah masuk premis perniagaan dengan menggunakan pemutar skru dan aktif antara jam 2 hingga 5 pagi sejak tiga bulan lalu, melibatkan kerugian RM20,000.

Tambah beliau, suspek yang berusia 27 dan 32 tahun itu menjual tong gas yang dicuri kepada seorang lelaki warga asing pada harga RM40 setong sebelum ia dijual semula pada harga RM50 setong

“Sejak bulan Oktober lalu, Polis Daerah Kuantan telah menerima sembilan laporan polis berkaitan kejadian pecah kedai makan, kedai runcit, kedai dobi serta medan selera dan mencuri tong gas di sekitar kawasan Permatang Badak, Kemunting, Indera Mahkota, Air Putih dan Jalan Beserah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari, ketika ditahan, polis menemui empat tong gas di bahagian tempat duduk belakang dan empat tong gas di bahagian bonet.

Katanya, hasil soal siasat suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun yang bertindak sebagai pembeli tong gas yang dicuri itu dan dia direman selama tiga hari bermula semalam.

Jelas beliau,  polis kemudian menyerbu sebuah setor di kawasan perindustrian Semambu pada Selasa lalu dan berjaya merampas 42 tong gas yang disyaki dibeli daripada suspek.

Kesemua suspek disiasat  mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi, ujarnya. – MalaysiaGazette