Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang komited telah meminta Jabatan kerja Raya (JKR) untuk mengambil langkah proaktif terhadap aduan awam yang diterimanya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Kerajaan Pahang serius dalam menangani isu berkaitan rakyat di seluruh Pahang dan tindakan segera dalam tempoh 24 jam  diambil susulan pelbagai aduan diterima di mana ia selaras dengan ketetapan piagam pelanggan JKR Malaysia.

“Kerosakan jalan terutamanya lubang di atas jalan raya perlu segera diperbaiki dan tidak boleh ditangguh terutama apabila hujan lebat dan waktu malam yang dapat mengundang bahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau pergerakan lori lebih had muatan yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan raya di negeri itu. – MalaysiaGazette