Seorang jurujual, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah 20 (tengah) mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita dengan memakai telekung di dua masjid di Mahkamah Majistret, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 29 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang menyamar dengan memakai telekung untuk mencuri di dalam masjid didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit milik dua jemaah wanita pada minggu lepas.

Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di dua buah masjid di sini.

Namun Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menangguhkan hukuman terhadap Mohamad Amirul Shafiq bagi menunggu laporan sosial memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Amirul Shafiq dituduh mencuri sebuah telefon bimbit jenis iPhone X milik Maznah Selamat di Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18, Shah Alam pada 6.25 pagi, 20 Disember lepas.

Bagi pertuduhan kedua, jurujual itu didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenis Samsung Z Flip 3 milik Kasmunah Abd Rahman di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam pada 8.50 malam, 20 Disember lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Redza Azhar menetapkan RM3,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dan 17 Januari ini bagi mendengar laporan sosial tersebut. – Bernama