Saarani Mohamad

IPOH – Lima kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tulen telah dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan terpilih di negeri Perak bagi memastikan tiada murid tercicir, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia melibatkan Sekolah Kebangsaan Seri Selama, Sekolah Kebangsaan Ulu Slim, Sekolah Kebangsaan Ganda Teluk Intan, Sekolah Kebangsaan Dato’ Sagor Kampung Gajah dan  Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai Ayer Tawar.

“Kerajaan negeri juga mengiktiraf sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) sebagai syarat utama permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Negeri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri Perak berkaitan KAFA.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 100,656 daripada 114,377 anak murid beragama Islam menyertai KAFA di sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak.

Sementara itu, persidangan DUN dimaklumkan sehingga kini, sebanyak 75 daripada 176 tapak menara baharu telah siap selain penyediaan kemudahan infrastruktur komunikasi bagi perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit (BWA) di 73 lokasi di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi memaklumkan sebanyak dua satelit telah siap beroperasi di Kampung Orang Asli Balang dan Kampung Orang Asli Balang Satu.

Beliau menjawab soalan Hashim Bujang (Bersatu-Bukit Chandan) mengenai langkah-langkah untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan kelajuan Internet di kawasan pinggiran bandar, luar bandar, kampung-kampung dan kawasan pedalaman termasuk kawasan Orang Asli. – Bernama