Larry Sng

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengeluarkan amaran kepada ahlinya yang menyertai NGO Muafakat Nasional (MN).

Presidennya, Larry Sng menegaskan, jika ada antara mereka yang ingkar arahan itu, akan dikenakan tindakan digantung dan dibatalkan keahlian.

Beliau berkata, keputusan itu sebenarnya telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

“Ini adalah permulaan baharu. Parti memerlukan pemimpin bersih, berpengalaman dan ikhlas demi perubahan positif landskap politik negara.

“Kita tidak akan membawa masuk pemimpin kontroversi daripada parti lain untuk menyertai PBM, sebaliknya memupuk pemimpin baharu dalam kalangan ahli.

“Bagi mereka yang tidak berpuas hati, kita alu-alukan untuk pergi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Selasa lalu, tiga pemimpin PBM iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin, Haniza Talha dan Daroyah Alwi bersama sembilan yang lain diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin parti.

Pada 14 Disember lalu, Zuraida menyertai MN yang diterajui bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Larry, PBM adalah parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata beliau, parti yang membentuk kerajaan hari ini adalah sekutu baharu PBM dan kedudukan kerajaan merupakan hala tuju parti.

Beliau akan menjelajah ke seluruh negara bermula Januari ini untuk bertemu dengan pemimpin bagi menjelaskan hala tuju parti. – MalaysiaGazette