Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Wira Putra menggesa Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Menara KL Sdn Bhd (Menara KL) memberi penjelasan segera berhubung dakwaan di media sosial mengenai penjualan RM10 juta saham milik entiti itu.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, lebih menghairankan saham itu dikatakan dijual kepada sebuah syarikat yang hampir dinyahsenaraikan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kata beliau, jika dakwaan itu benar, ia tidak wajar berlaku kerana melibatkan dana awam kerajaan yang cuba dimanipulasi secara diam-diam.

“Kita menyedari perkara ini selepas didedahkan oleh seorang pemilik akaun media sosial Facebook Adrian Lee Chee En yang benar-benar membuatkan rakyat semakin gelisah.

“Penjualan kepada syarikat yang hampir dinyahsenaraikan daripada SSM ini amat menghairankan, tambahan pula syarikat ini didakwa bukan antara pemain dalam bidang hartanah, pelancongan mahupun infrastruktur telekomunikasi.

“Justeru, Wira Putra menggesa TM dan Menara KL memberi penjelasan segera berhubung isu ini, yang tidak boleh diambil mudah dan perlu mengambil serius berkenaan dakwaan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adrian Lee menerusi hantaran Facebooknya bertarikh 26 Disember lalu membuat hantaran mendakwa, konsesi dan hak ke atas mengurus Menara KL adalah suatu perniagaan yang dimiliki oleh TM melalui anak syarikatnya Menara KL Sdn Bhd.

Ianya bukan suatu perniagaan yang merugikan, tetapi yang menjana keuntungan bersih berpuluh juta ringgit setiap tahun kepada TM.

Contohnya, pada tahun 2019 (sebelum Covid-19), keuntungan bersih dicatat oleh Menara KL melalui konsesi dan hak mengurus ialah sebanyak RM20 juta dan sebelum itu sebanyak RM25 juta.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam jawapannya semalam memaklumkan, kementerian memandang serius isu berkenaan dan akan menerima taklimat terperinci daripada pengurusan Menara KL.

Kata Fahmi, beliau juga akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara itu daripada TM pada 3 Januari depan.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, situasi itu boleh diumpamakan syarikat berkepentingan kepada TM atau kerajaan itu telah ‘disamun’ secara halal, sekali gus memberi keuntungan kepada beberapa individu, bukan lagi kepada negara.

“Sekiranya dakwaan ini tidak benar, TM atau Menara KL wajar menyaman pihak terbabit.

“Jika enar-benar berlaku, Wira Putra mendesak TM dan Menara KL membatalkan jualan serta mengambil balik saham pegangan itu dalam konsesi dan hak mengurus Menara KL,” katanya. – MalaysiaGazette