Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan satu pasukan khas bagi mencari penyelesaian terhadap sebanyak 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan  ‘sakit’ di negara ini.

Langkah itu diambil bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah yang terlibat dalam projek perumahan yang dikategorikan sebagai projek sakit itu.

Menterinya, Nga Kor Ming memandang serius terhadap projek-projek perumahan kategori sakit atau terbengkalai tanpa penyelesaian sehingga hari ini serta menyusahkan pembeli.

Katanya, pembangunan perumahan merupakan salah satu sektor yang penting dalam menjana ekonomi negara di mana hampir 200 industri terlibat.

“Justeru, KPKT berharap industri perumahan akan terus berkembang maju pada tahun 2023 dan KPKT akan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti tinggi supaya rakyat dapat memiliki rumah yang selesa dan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan.

“Menurut statistik KPKT, bagi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, KPKT akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kor Ming, daripada jumlah itu, sebanyak 22,209 unit rumah telah siap dibina manakala 47,637 unit lagi sedang dalam pembinaan baki sebanyak 13,882 unit lagi akan disiapkan menjelang akhir tahun 2025.

Menurutnya, KPKT akan terus memberikan fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development
Goals – SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di samping itu, beliau juga mengharapkan agar pihak swasta dapat bekerjasama secara aktif dengan kerajaan untuk membina lebih banyak ruang hijau dan menggunakan gaya reka bentuk yang mesra alam dalam pembinaan agar mewujudkan lebih banyak perumahan yang berdaya huni dan berkonsep hijau.

“Selain itu, kerajaan perpaduan turut menyokong inisiatif untuk membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah pertama melalui insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah manakala bagi rumah berharga RM500,001 hingga ke RM1 juta akan menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

“Memandangkan situasi politik negara kita kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum ke15, pelabur-pelabur asing kembali mempunyai keyakinan terhadap kerajaan perpaduan, saya optimistik terhadap pasaran industri perumahan negara pada tahun depan.

“Malah, saya juga berharap pengusaha-pengusaha dapat meningkatkan pelaburan domestik dan kerajaan perpaduan akan bekerjasama secara aktif dengan melancarkan dasar pro- perniagaan’ dan pro-rakyat,” ujarnya.

Tegas Kor Ming lagi, bagi memantapkan lagi pembinaan perumahan awam di negara, Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) telah dijemput berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.

Beliau percaya langkah itu akan membantu meningkatkan tahap perancangan bandar di Malaysia dan bukan sahaja dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri tetapi juga mewujudkan keluarga bahagia melalui kaedah yang inovatif. – MalaysiaGazette