Kesan letupan satu bungkusan misteri yang ditinggalkan atas sebuah kereta mengakibatkan pelayan kedai makan maut di Pandan Indah Ampang malam tadi. - Gambar ihsan Polis Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Seorang pelayan kedai makan maut dalam letupan mengejut selepas membuka sebuah bungkusan misteri yang diletakkan atas bonet keretanya di Jalan Pandan Indah, Ampang malam tadi.

Kejadian tidak dijangka itu berlaku di hadapan kedai makan tempat mangsa bekerja kira-kira pukul 8. 55 malam tadi, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Menurutnya, mangsa letupan dikenalpasti sebagai seorang lelaki warga tempatan yang berumur 28 tahun.

“Siasatan yang dijalankan oleh polis dilokasi kejadian itu mendapati mangsa terjumpa satu bungkusan yang meragukan yang telah ditinggalkan di atas bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis.

“Apabila mangsa memegang bungkusan itu untuk memeriksanya, tiba-tiba berlaku letupan berlaku dari bungkusan tersebut,” katanya dala kenyataan yang dikeluarkan awal pagi ini.

Kesan letupan satu bungkusan misteri yang ditinggalkan atas sebuah kereta mengakibatkan pelayan kedai makan maut dalam kejadian di Pandan Indah Ampang malam tadi. – Gambar ihsan Polis Ampang Jaya.

Tambah Mohamad Farouk, letupan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan.

Mangsa kemudiannya dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang untuk rawatan malangnya telah disahkan meninggal dunia pukul 9.45 malam.

“Siasatan polis di tempat kejadian juga telah berjaya menemui beberapa kesan akibat letupan iaitu kesan kemek pada kereta mangsa.

“Polis masih sedang menyiasat punca letupan,” ujarnya sambil menambah usaha menjejaki siapa bertanggungjawab melakukannya sedang giat dilakukan.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette