Anwar menandatangani plak sebelum menyertai Solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Anwar dilaporkan pernah merasmikan majlis pecah tanah pembinaan masjid yang sama pada 21 April 1995 ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pemimpin nombor satu negara itu tiba di pekarangan masjid tersebut kira-kira pukul 12.30 tengahari turut menandatangani semula plak perasmian masjid berkenaan.

Sebelum itu, Anwar singgah makan di gerai murtabak berhadapan masjid tersebut.

Ketibaan beliau tengah hari tadi turut disambut oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Difahamkan ia merupakan kunjungan pertama Anwar ke Johor sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Pagi tadi beliau memulakan lawatan kerja di negeri ini dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene. – MalaysiaGazette