Bot tempur hilang kawalan berlanggar dengan kapal semasa terlibat dalam demonstrasi sempena sambutan HTA 2022 di Pengkalan TLDM Lumut Perak semalam.- Gambar ihsan TLDM Lumut Perak.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memulakan siasatan berhubung insiden pelanggaran bot tempur semasa sambutan Hari Terbuka Armada (HTA) 2022 di Lumut, Perak semalam.

Satu lembaga siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, insiden itu dikesan berlaku ketika demonstrasi bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut, Perak sempena HTA2022.

“Ketika kejadian lebih kurang pukul 11.30 pagi itu, sebuah bot tempur TLDM yang terlibat demonstrasi telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah.

“Perlanggaran itu telah menyebabkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan,” kata TLDM dalam kenyataan hari ini.

Namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku ekoran daripada insiden tersebut.

“Malah, insiden itu juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette