Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Sempena memasuki tahun baharu 2023, rakyat diajak untuk mengambil peluang melakukan muhasabah diri dan mensyukuri segala nikmat dari Yang Maha Esa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, ini kerana masa yang dipinjamkan saban hari adalah satu nikmat yang mesti diuruskan dengan bertanggungjawab seiring hijrah menuju kehidupan lebih baik menerusi perpindahan tahun.

“Semoga resolusi tahun baharu yang disusun ini akan dipandu oleh ilmu dan bakal membawa ke arah lebih cemerlang, selain memberi manfaat kepada orang lain.

“Umum tahu, baru-baru ini negara kita dilanda musibah tanah runtuh dan banjir yang telah mengorbankan nyawa serta kerosakan harta benda kepada mangsa terbabit.

“Atas dasar perpaduan dan sifat rahmah dalam kalangan rakyat Malaysia, kita semua telah bersatu dalam menzahirkan kesedihan serta berusaha memberi bantuan dan sokongan, di samping mendoakan kekuatan buat semua mangsa,” katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu 2023, hari ini.

Dr. Na’im turut menyeru rakyat Malaysia untuk bersama berusaha menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara.

Katanya, ini selari dengan dasar teras Kerajaan Perpaduan yang mementingkan kesepaduan antara semua pihak.

“Saya mengajak semua anggota masyarakat tidak kira latar belakang dan fahaman agama dan politik untuk sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memelihara perpaduan.

“Sebolehnya, kita perlu jauhkan daripada persengketaan dan menumpukan usaha merencana serta membangunkan negara bersama dalam keadaan harmoni.

“Masyarakat perlu kembali untuk menghayati ilmu dan adab. Penguasaan ilmu dalam pelbagai disiplin akan mengembalikan kekuatan ummah,” ujar beliau.

Beliau mendoakan tahun 2023 ini akan mengeratkan kesatuan rakyat dan bulatkan tekad untuk menjalankan amanah demi Malaysia yang lebih sejahtera dengan penuh keikhlasan dan ketekunan. – MalaysiaGazette