Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

SERDANG – Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki  membunuh isterinya kerana mengirim wang simpanan ke kampung tanpa kebenaran beliau direman selama dua minggu, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur turut direman bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63

“Pagi tadi suspek telah dihadapkan ke mahkamah untuk proses permohonan perintah reman untuk meneruskan siasatan kes ini.

“Mahkamah yang mendengar permohonan polis membenarkan suspek direman selama 14 hari bermula hari ini hingga 14 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut polis melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,”‘ katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Suspek sebelum ini mengaku punca kejadian adalah kerana bergaduh dan berang selepas isterinya mengambil wang simpanan bersama berjumlah RM6,000 dan mengirim ke kampung halaman di Indonesia tanpa kebenaran beliau.

Hasil soal siasat polis mendapati insiden 16 Disember lalu suspek telah membunuh isterinya dengan memukul di belakang kepala dengan sepanar boleh laras di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara, Puchong di sini.

Semalam Anbalagan menerusi satu kenyataan berkata, suspek yang melarikan diri selepas kejadian tersebut diberkas pada jam 12.30 tengahari Sabtu di Batu Gajah, Perak.

Katanya, kes bunuh yang membabitkan lelaki berusia 28 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahanya. – MalaysiaGazette